Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, berkata Perancis berhak memenangi perlawanan ke atas Belanda dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi tadi.

Percubaan Paul Pogba dari luar kotak penalti pada minit ke-30 sudah memadai buat Perancis membawa pulang tiga mata penuh dari Amsterdam.

Deschamps melontarkan pujian kepada skuad kendaliannya dengan kemenangan ini, sekali gus membenarkan mereka mengumpul tujuh mata untuk menerajui Kumpulan A.

"Kami berhark untuk memenangi perlawanan penting ini," jelas Deschamps.

"Pada babak kedua perlawanan, kami kurang mengawal permainan, tetapi kami mampu melakukan lebih baik lagi berbanding pada separuh masa pertama.

"Walaupun keputusannya tipis, kemenangan ini telah meningkatkan semangat pasukan untuk terus mencuba mendapatkan tiga mata penuh dalam perlawanan akan datang. Ia telah memberikan satu kepuasan buat kami menang di Amsterdam."