Didier Deschamps masih menaruh kepercayaan terhadap Olivier Giroud untuk menghasilkan gol buat Les Bleus meskipun pemain itu bergelut dengan prestasi ketika ini bersama Arsenal.

Giroud terlepas aksi terakhir bersama skuad kebangsaan Perancis sebelum ini ekoran kecederaan ibu jari kaki, masalah sama yang telah menggugat perjalanan kariernya musim ini bersama The Gunners.

Pemain berusia 30 tahun itu masih belum tampil selaku kesebelasan utama Arsenal musim ini, namun telah menampakkan sentuhan berkesan apabila telah menyumbang tigal gol daripada tiga perlawanan setakat ini.

Senario itu turut menjadi punca namanya disenaraikan oleh Deshcamps menjelang aksi kelayakan Piala Dunia berdepan Sweden dan perlawanan persahabatan menentang Ivory Coast minggu depan.

Deschamps turut yakin pemain penyerang itu masih mampu memainkan peranan selaku tonggak serangan utama pasukan.

"Dia masih belum cergas sepenuhnya, dia juga sedar akan perkara itu," Deschamps memberitahu sidang media.

"Dia masih belum turun selaku kesebelasan utama pasukan musim ini ekoran kecederaan, kerana itulah dia tidak bersama kami bulan lalu.

"Saya tahu kemampuan Giroud dan Kevin Gameiro. Mereka memainkan peranan besar dalam perancangan saya."