Didier Deschamps berasakan keputusan seri 2-2 dengan Jerman, awal pagi tadi, membuktikan Perancis sedang maju selangkah menjelang Piala Dunia 2018.

Les Bleus mempamerkan aksi mengagumkan di Cologne apabila mendahului juara bertahan itu dengan dua gol melalui Alexandre Lacazette dan pelawat hampir pulang dengan kejayaan.

Bagaimanapun, Lars Stindl menafikan perayaan mereka dan sungguhpun kecewa dengan hasil gol lewat itu, Deschamps menemui banyak aspek positif.

"Kami lebih dekat untuk menang dan menjaringkan gol ketiga, jadi ini adalah satu kekecewaan," kata jurulatih Perancis itu.

"Kami membuat kesilapan pada penghujung permainan tetapi secara keseluruhan saya sangat bangga dengan barisan anak buah saya. Ini merupakan prestasi yang baik terhadap pasukan Jerman yang bagus sehingga mereka sukar mengawal permainan.

"Kami mencetuskan kesukaran. Kami mencipta banyak peluang, enam atau tujuh, dengan kepantasan dan ketepatan. Kami tidak melakukan semuanya dengan baik, begitu juga Jerman.

"Prestasi keseluruhan Perancis sangat baik pada malam ini dengan pemain yang berbeza, sistem yang berbeza, tetapi banyak kualiti," katanya.

Dalam aksi ujian itu, Lacazette, Anthony Martial dan Adrien Rabiot diberi peluang untuk menyinar dan selepas memaparkan aksi hebat, dia mengakui pemilihan akhir untuk ke Russia 2018 akan menjadi sukar.

"Ini bukan peperiksaan tetapi saya telah memberi amaran kepada mereka semua bahawa setiap orang perlu memanfaatkan masa bermain mereka," katanya.

"Mereka telah memberikan tindak balas yang positif. Pilihan saya akan menjadi sukar, sama seperti Joachim Low.

"Kami mempunyai ruang untuk penambahbaikan, kami bukan akan mengubah identiti, namun kami berada di jalan yang betul," katanya lagi.