Didier Deschamps bosan dengan soalan berkaitan masa depan Karim Benzema, namun enggan menolak rumusan bahawa penggempur itu tidak akan dipanggil semula selagi kejurulatihan tidak berubah.

Bintang Real Madrid, Benzema, disisihkan daripada peringkat antarabangsa sejak berdepan tuduhan mengugut Mathieu Valbuena yang berkisar kepada satu pita video seks pada 2015.

Kes itu belum lagi dibicaraka, tetapi mahkamah rayuan akhir Perancis dalam prosiding sivil dan jenayah pada Julai lalu mendapati kes itu menyebelahinya.

Peguam Benzema berhujah bahawa seorang pegawai polis yang menyamar bertindak tidak jujur ​​apabila memainkan peranan penting dengan memaksa pihak-pihak yang terlibat agar sepakat dan kalau bukan kerana tindakannya itu, laporan jenayah berkenaan tidak akan berlaku.

Pemain berusia 29 tahun itu, yang kali terakhir muncul di Perancis pada Oktober 2015, mendakwa dalam temu bual pada Ahad lalu bahawa Deschamps tidak akan memberi peluang kepadanya dan jurulatih itu terganggu kerana sentiasa ditanya mengenai situasi berkenaan.

Bercakap dalam sidang akhbar menjelang aksi persahabatan dengan Jerman, awal pagi esok, Deschamps berkata: "Adakah anda merancang untuk menjadikannya persoalan utama dalam setiap perlawanan?

"Berita pasukan Perancis adalah perlawanan menentang Wales dan kini Jerman, ia satu pertembungan berprestij.

"Anda boleh bercakap apa sahaja tetapi saya fikir pemain yang terpilih layak mendapat penghormatan minimum, saya mempunyai keyakinan penuh terhadap mereka.

"Ia (soalan tentang Benzema) tidak mengganggu saya. Tetapi, ia boleh membosankan dan saya akan menghadapinya."

Perancis dilabel sebagai salah sebuah pasukan pilihan dalam Piala Dunia 2018. Deschamps, bagaimanapun, mendakwa ia tidak dianggap sebegitu di Perancis apabila bekas pemain tengah itu mengandaikan bahawa tuan rumah yang bakal mereka hadapi awal pagi esok, Jerman, selangkah lebih maju.

"Pihak yang membuat taruhan ke atas kami bukanlah orang Perancis," kata jurulatih berusia 49 tahun itu.

"Saya tidak tahu, mungkin mereka mengambil risiko. Ini sesuatu di luar batas kami, ramai pihak mengiktiraf kualiti yang telah kami lakukan.

"Saya menganggap Jerman lebih ke depan secara keseluruhannya melalui pengalaman mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Di peringkat antarabangsa, ia memerlukan masa, anda hanya perlu melihat usaha mereka yang bermula pada 2004 hingga 2006, kemudian mereka mempunyai gelaran utama (Piala Dunia), lapan tahun kemudian.

"Pemain mereka telah mengumpul gelaran liga dan Liga Juara-Juara. Di pihak Perancis, kami masih sedikit terkebelakang," tambahnya.