Didier Deschamps enggan mempertahankan Thierry Henry untuk mengambil-alih jawatan pengurus AS Monaco tatkala kelab Ligue 1 itu masih lagi menggunakan khidmat Leonardo Jardim.

Laporan di Perancis mengatakan bahawa Jardim, yang mengetuai Monaco menjulang trofi liga bagi musim 2016/17, akan dipecat ekoran permulaan buruk musim ini.

Henry memulakan karier selaku bintang bola sepak di Monaco sebelum berkembang menjadi salah seorang bintang terhebat dunia bersama Arsenal, di mana dia beraksi bersama Deschamps untuk skuad kebangsaan Perancis ketika kegemilangannya.

Pembantu ketua jurulatih Belgium itu dikaitkan bakal memegang jawatan pengurus di Monaco tetapi Deschamps merujuk kepada laporan yang mendakwa Henry hampir bergelar pengurus buat Bordeaux awal tahun ini tetapi akhirnya ia tidak berlaku.

"Saya tidak tahu jika anda memiliki maklumat yang tepat tetapi setakat ini, tiada apa yang rasmi," kata Deschamps.

"Ia kes sama seperti Henry di Bordeaux awal musim ini tetapi saya mengucapkan selamat maju jaya buatnya.

"Henry memerlukan masa untuk membuat pilihan dan dia menjalankan tugas dengan baik bersama Belgium. Jika dia meraih peluang, di mana ia masih belum muktamad, Henry harus melakukan dengan sebaik-baiknya.

"Jadi, ayuh tunggu dan lihat. Mungkin esok anda memberitahu saya bahawa dia tidak ke Monaco.

"Tambahan pula, Monaco masih memiliki pengurus. Jardim adalah pengendali pasukan. Walaupun jika saya menyukai Henry, saya tidak menjangkakan sesuatu perkara kerana menghormati Jardim.

"Saya tidak pasti sama ada ia akan berlaku walaupun semua orang menyebut tentangnya."

Henry menamatkan khidmat sebagai pengulas sukan tahun ini untuk memberi tumpuan kepada karier kejurulatihannya.