Pengendali Perancis, Didier Deschamps, kini mempersiapkan pasukannya untuk berdepan ancaman Edinson Cavani menjelang aksi suku akhir malam ini, namun menjangkakan Uruguay tetap pasukan yang berbahaya walaupun jika penyerang itu gagal pulih daripada kecederaan.

Cavani mengalami masalah otot ketika menewaskan Portugal 2-1 dalam pusingan kedua Piala Dunia dan kini kecergasannya menimbulkan keraguan untuk pertemuan dengan Perancis di Nizhny Novgorod walaupun kembali menyertai sesi latihan, semalam.

Deschamps telahpun memiliki percaturan untuk mengekang kelibat penggempur Paris Saint-Germain (PSG) itu tetapi berpendapat pengurus Uruguay, Oscar Tabarez, mempunyai pilihan lain yang mampu diharapkan.

"Saya mempersiapkan pasukan untuk bersedia sekiranya Cavani beraksi tetapi Tabarez memiliki barisan pengganti yang hebat," kata Deschamps.

"Cristhian Stuani adalah pemain yang bagus, dia menjaringkan 21 gol bersama kelab dan saya juga menyediakan pasukan untuk menghadapi pelbagai kemungkinan.

"Cavani tidak perlu diperkenalkan. Dia memulakan kejohanan dengan cemerlang dan memandangkan dia beraksi di Perancis, saya amat mengenalinya tetapi ia tidak mengubah profil Uruguay.

"Kualiti yang dimiliki berada satu tahap di atas berbanding penyerang lain tetapi Stuani dan Cristian Rodriguez juga pemain berbakat. Kami bersedia dengan segala kemungkinan," ujarnya.

Dalam perlawanan pertama di bawah kendalian Deschamps pada 2012, kedua-dua pasukan terikat 0-0, satu keputusan yang sama dalam empat daripada lima pertemuan terakhir mereka.

Deschamps berpendapat Uruguay masih hampir dengan pasukan yang ditemui enam tahun lalu, namun kekuatan pertahanan mereka menjadi pertaruhan sebenar.

"Ia menjadi satu budaya mereka, memilikinya di dalam DNA masing-masing. Mereka mempunyai kualiti yang ada dalam setiap pemain Amerika Selatan apabila bercakap soal teknik, mampu menjadi agresif serta tahu menggunakan tubuh badan apabila perlu.

"Namun, mereka mempunyai satu dedikasi. Apabila mereka tidak memegang bola, mereka tahu apa perlu dilakukan. Semua pemain tahu bagaimana untuk bertahan, termasuk penyerang jika perlu."

Aksi di Nizhny Novgorod juga bakal menyaksikan pertemuan Antoine Griezmann dengan rakan sepasukan, Diego Godin dan Jose Gimenez, membuatkan Deschamps berharap agar penyerangnya itu mempunyai kelebihan.

"Dia mengetahui kemampuan benteng lawan dan juga kelemahan mereka. Saya tahu mereka pasti menghormati antara satu sama lain setelah beraksi bersama dalam tempoh yang lama di Atletico.

"Kedua-dua pihak akan saling menghormati. Saya pasti Gimenez dan Godin akan melakukan apa sahaja untuk mengekang Griezmann tetapi dalam masa sama, Griezmann tahu cara untuk menanganinya."