Pengendali Perancis, Didier Deschamps, menolak untuk mengaitkan isu politik yang melanda seluruh skuad kebangsaan Turki menjelang pertemuan dengan pasukannya dalam aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi esok.

Sesetengah pemain Turki memberikan tabik hormat ala tentera selepas Cenk Tosun menjaringkan gol kemenangan ke atas Albania di Istanbul, Jumaat lalu tatkala tindakan itu dilihat seperti menyokong keganasan yang dilakukan ke atas puak Kurdistan di Syria.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sedang meneliti isu tersebut tetapi Deschamps hanya mahu fokus untuk mendapatkan kemenangan bagi mengesahkan tempat buat juara dunia itu dalam pusingan akhir tahun depan.

"Kami tahu pentingnya perlawanan ini. Ia satu konfrontasi menentang lawan yang memiliki mata yang sama dengan kami," katanya ketika sidang media menjelang aksi di Stade de France itu.

"Ia bakal menjadi persekitaran yang baik, itu sudah pasti. Mengenai isu politik, itu masalah lawan dan kami tidak mahu fikirkannya.

"Kami dalam industri sukan dan harus fokus dengannya.

"Kami tidak akan membincangkan tentang perkara itu. Apa yang saya mahu tahu adalah tentang perlawanan."

Bek tengah Real Madrid, Raphael Varane, turut bersetuju dengan pendapat pengurus pasukannya itu mengenai lawan yang menundukkan Les Bleus dalam pertemuan di Torku Arena, Jun lalu.

"Ia bukan sesuatu yang menjadi keutamaan kami. Kami hanya memiliki tambahan motivasi susulan padang dan prestasi buruk di Konya," katanya.

"Kami mahu menampilkan aksi bola sepak terbaik dan memberi kepuasan buat peminat. Dan sudah pasti, mahu melayakkan diri."

Bagaimanapun, Deschamps melihat keinginan untuk membalas dendam hanya akan membuatkan pasukannya tidak produktif menentang lawannya itu.

"Tidak ada unsur balas dendam. Kami tidak akan meraih semula mata yang dilepaskan," tambah Deschamps.

"Ia hanya menjadi perlawanan penentu. Kami perlu mencipta sesuatu yang berbeza.

"Tiada apa yang positif daripada kami ketika aksi di Konya kecuali prestasi Hugo Lloris. Kami gagal dan mereka sangat bagus tetapi ia tidak akan jadi aksi sama.

"Turki adalah pasukan yang mempunyai 18 mata dan mereka berhak meraihnya. Mereka sangat kuat.

"Mereka hanya melepaskan dua gol ketika saingan kelayakan daripada situasi bola mati. Mereka begitu bahaya dengan Burak Yilmaz, Cenk Tosun dan Hakan Calhanoglu.

"Turki sangat berpengalaman dan menampilkan permainan hebat, terutama ketika berdepan kami. Mereka memiliki perwatakan."