Derby della Madonnina: Ibrahimovic suntik keyakinan Milan bertemu Inter

Oleh Shaiful Shamsudin 16 Oktober 2020 57
Derby della Madonnina: Ibrahimovic suntik keyakinan Milan bertemu Inter
Gianluigi Donnarumma percaya Milan semakin merapatkan jurang dengan Inter menjelang pertembungan 'derby' pertama musim ini dan pertemuan itu tampak "kurang menakutkan" sejak kehadiran Zlatan Ibrahimovic.

Rossoneri mempunyai rekod yang menyedihkan terhadap seteru kota itu baru-baru ini dan kali terakhir kemenangan berpihak kepada mereka adalah pada Januari 2016.

Namun, setelah prestasi mantap sejak penghujung lalu dan tekal setakat ini yang menyaksikan pengurus, Stefano Pioli, dilanjutkan selepas membawa Milan meraih tiga kemenangan berturut-turut awal kempen kali ini.

Justeru, Penjaga gawang Milan itu yakin pasukannya mampu menyaingi skuad Inter bimbingan Antonio Conte -- menduduki tempat kedua musim lalu di belakang juara, Juventus -- menjelang pertemuan tengah malam esok.

 
"Jurang dengan Inter semakin menipis. Mereka bertambah mantap tetapi kelab kami juga berjaya dalam pasaran perpindahan," kata pemain antarabangsa Itali itu kepada Sky Sport Italia.

"Pengurus telah melakukan satu tugasan yang hebat dari hari ke hari, dia banyak membantu kami. Kami sudah tidak sabar-sabar lagi.

"Mereka merupakan sebuah pasukan yang hebat di samping pengurus yang hebat, mereka mempunyai segalanya untuk mengharungi kempen musim ini dengan baik, mereka ampuh dan tersusun.

"Kami adalah pasukan muda tetapi kami menyedari potensi kami dan kami mampu melakukannya dengan baik. Kami tidak gentar. Kami hanya fokus kepada apa yang dapat kami lakukan dengan baik.

"Saya optimis dan yakin bahawa kami akan bermain dalam perlawanan yang hebat."

Kembalinya Ibrahimovic -- yang pernah mewakili kedua-dua pasukan dalam kariernya -- menjadi rangsangan buat Milan apabila bekas bintang Sweden itu dijangka kembali selepas pulih daripada COVID-19.

Bagi Donnarumma, aura penyerang itu cukup penting dalam membantu skuad muda Pioli itu berkembang terutama kerana dia sedar apa yang diperlukan untuk berjaya dalam 'Derby della Madonnina'.

"Kami semua mahu dia menjadi sebahagian daripada perlawanan ini dan itu yang bakal terjadi. Dengan kehadiran Ibra di padang, Inter kurang menyeramkan," penjaga gol berusia 21 tahun berkenaan yang membarisi Itali dalam kempen Liga Negara-Negara (UNL), beberapa hari lalu. 

"Dia bersemangat untuk mengharungi 'derby' dan akan membantu kami. Melakukan dengan baik dalam perlawanan ini akan memberi kami banyak kelebihan daripada segi mengejar kejuaraan, kami masih dalam awal saingan tetapi ia mampu menawarkan kekuatan untuk kami.

"Kami adalah kumpulan muda yang mampu berkembang pesat tetapi ketika ini kami juga boleh membuktikan bahawa kami mampu melakukannya dengan baik."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen