Alvaro Morata menyifatkan Cristiano Ronaldo sebagai pemain "luar biasa" selain merupakan pemain terbaik sepanjang zaman dan berhasrat untuk memberitahu anak-anaknya bahawa dia beraksi di samping penyerang Juventus itu.

Pemenang lima Ballon d'Or itu telah merakamkan 19 gol dalam 18 perlawanan dalam musim ketiganya bersama juara Serie A tersebut.

Morata, yang kembali ke Stadium Allianz daripada Atletico Madrid menerusi pinjaman sejak awal September lalu, berjaya mencetak empat gol dan lima bantuan jaringan dalam 12 perlawanan liga.

Mereka pernah meluangkan masa bersama di Real Madrid, lantas Morata berkata ia adalah satu keseronokan untuk kembali bergandingan dengan kapten Portugal itu.

"Sangat mudah untuk beraksi dengannya," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Saya sudah mengenalinya. Dalam beberapa situasi yang orang biasa tidak mampu mencapainya, dia pula sebaliknya.

"Di Parma, saya mencipta umpanan kepadanya yang hanya boleh dilihat dan difahami. Saya memahami pergerakannya dan gerakan yang digemarinya.

"Saya sering menarik perhatian pemain lawan agar mengawal saya dan saya rasa ia membantunya supaya tidak sentiasa dirantai dua atau tiga pemain di sekelilingnya. Mudah beraksi disampingnya.

"Dia salah seorang pemain terbaik dalam sejarah bola sepak. Dia hebat, mempunyai kualiti yang luar biasa dan dia mampu bermain di mana sahaja dia hajati, sama ada nombor sembilan, 10 atau 11.



"Saya hanya mahu menikmatinya setiap hari sambil saya berharap dapat bergandingan dengannya untuk tempoh yang lama.

"Ini satu kebanggaan buat saya. Saya membesar dengan menyaksikan aksinya dan ketika saya sampai di sini, saya sudah pun memikirkan peluang beraksi dengannya dan Paulo Dybala, jadi ia menggembirakan saya.

"Mereka merupakan pemain handalan di peringkat yang lebih tinggi. Kami mempunyai hubungan yang baik walaupun di luar padang. Saya akan memberitahu anak-anak saya bahawa saya bermain dengan mereka."

Juventus akan ke pasukan yang mendominasi tangga kedua Serie A, Inter, awal pagi Isnin ini dalam usaha merapatkan jurang empat mata dengan lawan mereka itu selain memiliki kelebihan satu perlawanan.

Selain menemukan dua gergasi Itali, perlawanan itu juga akan menyaksikan pertembungan dua penjaring terbanyak Serie A musim ini, Ronaldo (15) dan Romelu Lukaku (12).

27 gol yang dijaringkan oleh pasangan itu mengatasi himpunan jaringan kelab-kelab Serie A yang lain.

Morata teruja untuk berdepan Lukaku sambil berharap dapat bertukar jersi dengan penyerang produktif itu sebaik selesai pertemuan di San Siro berkenaan.

"Romelu adalah salah seorang penyerang terbaik di dunia, dia lengkap," kata pemain Sepanyol itu.

"Dia juga orang yang hebat, seseorang yang saya gemar dapat beraksi bersama.

"Pada akhir perlawanan kelak, saya akan meminta jersinya sebagai cenderahati. Kami akan berusaha mengekangnya di atas padang walaupun sukar.

"Lautaro Martinez merupakan pemain serba boleh tetapi Lukaku mampu melakukan perkara di mana anda tidak boleh menyekatnya."

Pertembungan 'Derby d'Italia' itu merupakan yang ke-175 dalam sejarah Serie A dengan 84 kemenangan memihak Juve -- catatan terbaik mereka ke atas mana-mana seteru Serie A yang lain.