Juventus mungkin tidak memimpin Serie A ketika ini tetapi mereka adalah penanda aras dalam bola sepak Itali, menurut pengurus Inter, Antonio Conte.

Juve merangkul gelaran liga sepanjang sembilan musim berturut-turut tetapi kempen kali ini masih mencari rentak sebenar di bawah kepemimpinan Andrea Pirlo.

Milan mendahului saingan selepas hanya tewas sekali dalam 17 perlawanan setakat ini, sementara Inter dan Roma turut mengintai peluang dalam saingan di puncak Serie A.

Namun, bagi Conte, Bianconeri tetap merupakan sebuah pasukan yang perlu ditundukkan dalam pertemuan mereka awal pagi esok.

"Juventus adalah penanda aras. Mereka adalah pasukan yang harus kami perhatikan, sebuah pasukan yang masih mendominasi Itali," katanya kepada media menjelang perlawanan di San Siro itu.

"Mereka adalah pasukan yang memberi petunjuk di mana kedudukan sebenar kami -- Juve adalah rujukan buat kami."




Ketika menggalas jawatan di Turin, Conte membantu mereka meraih tiga gelaran liga dan sehubungan itu, dia memuji bekas kelabnya tersebut yang sentiasa berusaha berkembang.

Dia merujuk kepada urusan perpindahan -- termasuk Alvaro Morata dan Dejan Kulusevski -- sebagai sebab utama The Old Lady akan terus mengekalkan standard mereka.

"Jurang di antara kami semakin terhakis tetapi belum ada yang mampu berjaya di Itali," katanya lagi.

"Dalam sembilan tahun kebelakangan ini mereka terus mendominasi. Mereka melakukannya dengan baik dalam semua aspek. Mereka berubah dan menyesuaikan diri, mereka menjadikan skuad lebih muda dan segar.

"Tahun ini mereka memiliki struktur permainan yang kerap mencatatkan kemenangan. Tambahan pula mereka memiliki Morata misalnya. Setiap tahun mereka melakukan pendekatan yang hebat untuk berusaha memperbaiki kualiti.

"Saya rasa di Itali belum ada pasukan seperti itu lagi. Mereka bertambah baik tetapi jurang dengan Juventus masih lagi lebar. Kami belum dapat memikirkan apa-apa pun selain daripada itu."

Inter merakamkan lima kemenangan berturut-turut dalam Serie A -- kali terakhir mereka berjaya mencatat enam rentetan kejayaan adalah pada Disember 2018 -- tetapi masih belum mampu mengalahkan Juve di San Siro sejak September 2016.

Conte juga mendambakan kemenangan liga ke atas bekas majikannya itu apabila tumpas dalam ketiga-tiga pertemuan yang lalu.