Der Klassiker: Reus label pengadil berat sebelah 

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Mac 2021 1304
Der Klassiker: Reus label pengadil berat sebelah 
BAYERN 4 DORTMUND 2

Marco Reus percaya Borussia Dortmund dinafikan "kekasaran yang sangat jelas" sebelum Bayern Munich menemui gol ketiga yang menjadi titik tolak kepada pertembungan 'Der Klassiker' yang mendebarkan, awal pagi tadi. 


Dortmund gagal mempertahankan kelebihan dua gol awal permainan yang diledakkan Erling Haaland apabila secara dramatiknya tersungkur 2-4 kepada Bayern di Allianz Arena.

Pelawat seakan-akan masih mampu membawa pulang satu mata sebelum sepakan voli Leon Goretzka dua minit menuju penamat disusuli hatrik yang dilengkapkan Robert Lewandowski dalam masa kecederaan menjulang barisan kendalian Hansi Flick itu. 

 

Kapten Dortmund itu telah dikeluarkan ketika gol Goretzka diledakkan, tetapi dia menegaskan bahawa pintu gol mereka sepatutnya tidak terancam selepas Emre Can terlebih dahulu dikasari Leroy Sane. 

"Ia satu kekasaran yang sangat jelas," kata Reus kepada Sky Germany.

"Jika itu berlaku kepada Bayern, ia pasti akan mendapat perhatian (pengadil).

"Begitulah keadaannya. Tidak ada yang perlu ditambahkan lagi."

Bagi meredakan dakwaan Reus itu, penyerang Bayern, Thomas Muller, menegaskan bahawa ia bukan kejadian yang ingin disuarakannya membabitkan kedua-dua pasukan.

"Apabila anda kalah, jelas bahawa anda akan memberi fokus kepada kejadian seperti itu," kata Muller pula. 

"Tetapi anda akan menganalisisnya juga (selepas ini).

"Kami tidak mahu perbalahan seperti ini menjadi topik hangat, jika tidak ia hanya akan berlegar di situ sahaja.

"Oleh itu, saya tidak akan menganggapnya sebagai kekasaran jika ia berlaku terhadap kami. Saya sangat gembira dengan keputusan pengadil, Marco Fritz, pada hari ini."

Di sebalik kontroversi mengenai gol ketiga itu, Bayern lebih menguasai perlawanan dengan melepaskan 27 percubaan selain 66 peratus penguasaan permainan tetapi hanya empat daripada Dortmund.

Kemenangan itu membolehkan Bayern terus menghambat RB Leipzig di puncak liga Bundesliga dengan jurang dua mata sambil meninggalkan Dortmund di tangga keenam, empat mata dipisahkan dengan kelab empat teratas.


 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen