Pengurus Bayern Munich, Hansi Flick, tidak berselindung dengan kekagumannya terhadap pemain Borussia Dortmund, Erling Haaland, menjelang pertembungan 'Der Klassiker' awal pagi esok sambil menganggap penggempur antarabangsa Norway itu mampu menguasai masa depan sukan ini.

Haaland menikmati perkembangan pesat prestasinya sejak menjadi pilihan pertama di Salzburg pada musim 2019-20 dan mempamerkan kemampuan luar biasa dengan mencetak 28 gol dalam 20 perlawanan buat kelab itu Austria.

Situasi itu mengundang minat kelab-kelab besar sebelum dia memilih ke Signal Iduna Park.

Dalam Haaland merekodkan 43 jaringan dalam 45 perlawanan jika dibandingkan dengan Robert Lewandowski, sentuhannya lebih berbisa berdasarkan kemampuannya menghasilkan gol dari sudut sukar.

Dalam tiga perlawanan menentang Bayern -- dua dalam Bundesliga dan sekali dalam Piala Super DFL -- Haaland dua kali menggegar gawang di sebalik kemenangan masih belum memihak BVB.




Begitupun, Flick cukup memahami ancaman yang mampu dicetuskan oleh produk muda kelab Molde itu.

"Haaland adalah seorang penyerang tengah," kata Flick.

"Dia sangat dahagakan gol. Masa depan boleh menjadi miliknya kerana dia memiliki semua yang diperlukannya bagi merealisasikannya .

"Dia pantas, mempunyai penyudah yang berbisa dan mental yang tepat. Apabila anda melihat keamatan yang dilakukan ketika memecut sejauh 80 meter - ia sesuatu yang hebat. Dia merupakan seseorang yang sering akan diperhatikan.

"Sangat penting untuk menutup ruangnya, Kami harus memintas hantaran kepadanya."