Bintang Lyon, Memphis depay, menyedari mengenai minat beberapa kelab, termasuk Barcelona, dalam mendapatkan khidmatnya tetapi penyerang itu masih belum pasti untuk meninggalkan pasukannya.

Depay dilaporkan menjadi sasaran Barca, yang kini dibimbing bekas ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman, dan AS Roma.

Pemain berusia 26 tahun itu menyedari minat beberapa pasukan untuk mendapatkannya tetapi berkata dia masih perlu melihat sama ada mahu meninggalkan Lyon atau tidak.

"Kita hanya perlu melihat apa yang akan berlaku. Saya akan melapor diri di kelab (Lyon) esok," katanya kepada NOS selepas Belanda tewas 0-1 kepada Itali dalam Liga Negara-Negara Eropah awal pagi tadi.

"Kemudian kita akan lihat. Saya tidak mendengar sebarang perkhabaran lanjut daripada ejen saya.

"Saya sedar terdapat minat (mereka) tetapi tidak banyak untuk saya perkatakan mengenainya kerana tidak banyak yang saya ketahui mengenainya," katanya.

Depay menjaringkan 15 gol dalam 22 penampilan buat Lyon musim lalu walaupun mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada Disember lalu.

Dia memulakan saingan Ligue 1 musim 2020-21 dengan menjaringkan hatrik ke atas Dijon bulan lalu.