LYON 2 RB LEIPZIG 2

Memphis Depay membidas penyokong Lyon selepas berdepan seorang penyokong yang menaikkan sepanduk untuk mengaibkan pertahanan, Marcelo, selepas pasukan itu terikat 2-2 dengan RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Groupama awal pagi tadi.


Lyon melangkah ke pusingan 16 Liga Juara-Juara selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol menerusi jaringan Houssem Aouar dan bintang di bahagian sayap, Depay.

Namun, kejayaan itu dicemari insiden buruk selepas wisel penamat dibunyikan.

Seorang individu melintasi papan iklan dan mengibarkan bendera dengan imej seekor keldai dengan tulisan: "Marcelo tinggalkan kelab".

Depay, yang juga ketua pasukan, meluru dan mencuba untuk mengoyakkan bendera di tangan penyokong itu sebelum ditenangkan oleh rakan sepasukannya, Jason Denayer.

Dalam nada penuh beremosi dalam sidang media selepas perlawanan, dia berkata kepada RMC Sport: "Anda lihat di mata saya, apa yang anda nampak?

"Saya mahu mengamuk dan amat marah. Saya tidak tahu apa yang mahu dikatakan.

"Ia bukanlah aksi terbaik tetapi kami layak.

"Pemain di atas padang memberikan segala-galanya.

"Kami bermain sepenuh hati dan layak.

"Amat sukar untuk kami mengetahui bahawa seseorang dalam pasukan ini sedang menghadapi masalah dengan penyokong dan dia tidak disokong mereka.

"Apa yang anda harapkan daripada pasukan kami? Pergi kepada mereka dan mengucapkan terima kasih?

"Mereka mengatakan sesuatu yang gila tentang keluarga dan anak seseorang.

"Saya sudah hilang kata-kata," katanya.

Dia menambah: "Sejujurnya, saya perlu berhati-hati. Ia mengingatkan saya tentang kisah lalu.

"Saya tidak mahu menjadi seperti itu lagi, saya sudah matang dan lebih tenang.

"Ia tiada makna jika kami tidak boleh meraikannya dengan penyokong selepas tamat perlawanan.

"Sebagai satu pasukan, kami percayakan setiap pemain, kami percayakan penyokong tetapi mereka tidak percayakan pasukan ini.

"Amat menyakitkan untuk meninggalkan padang seperti ini.

"Saya berlari untuk menanggalkan sepanduk itu.

"Siapa yang ada masa untuk melukis keldai di atas bendera?

"Jika anda ada masa, anda benar-benar perlu melakukan sesuatu yang lebih baik untuk hidup anda.

"Jika anda ke stadium untuk menyokong, kami menghargainya.

"Tetapi anda perlu menghargai setiap orang.

"Mereka telah meludah kami, pegawai kami dan beberapa pemain.

"Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti itu," katanya lagi.