Depay dilanda kecederaan lutut serius 

Oleh Staff Writer 16 Disember 2019 112
Depay dilanda kecederaan lutut serius 
Bintang Lyon, Memphis Depay, menderita kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) di lutut kirinya dalam kekalahan 0-1 kepada Rennes dalam Ligue 1 awal pagi tadi.

Depay, 25, dijangka terlepas baki aksi sepanjang musim ini selain dalam keraguan utama bagi kempen Kejohanan Euro 2020 bersama Belanda.

Penyerang itu menikmati kempen Ligue 1 yang baik dengan meledak sembilan gol dan mencipta dua bantuan jaringan dalam 13 perlawanan, namun dia sekurang-kurangnya mungkin perlu berehat selama enam bulan. 

"Ini satu petang yang sangat buruk kerana kami tumpas selain kekurangan kualiti. Berita terburuknya pula ialah mengenai kecederaan Memphis yang mungkin tersisih untuk tempoh yang lama," kata Pengarah Sukan Lyon, Juninho.

"Dia adalah kapten kami dan saya sedih bagi pihaknya."

Menambah kekusutan Lyon itu ialah berita pemain tengah, Jeff Reine-Adelaide, yang turut ditimpa masalah ACL di lutut kanannya.

Mengesahkan kedua-dua kecederaan itu, Lyon mengeluarkan satu kenyataan: "Malangnya mereka mungkin tidak dapat diturunkan untuk sekurang-kurangnya enam bulan."

Lyon kini di tangga kelapan Ligue 1 selepas menempa dua kekalahan dalam tiga perlawanan terakhir. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen