Denmark hukum taktikal Ireland untuk ke Piala Dunia 

Oleh Penulis Jemputan 15 November 2017 2077
Denmark hukum taktikal Ireland untuk ke Piala Dunia 
REPUBLIK IRELAND 1 DENMARK 5

Jurulatih Denmark, Age Hareide, berterima kasih kepada jurulatih Republik Ireland, Martin O'Neill, selepas pilihan taktikal beraninya memberi ruang kepada Christian Eriksen untuk mencetak hatrik dan memastikan mereka layak ke Piala Dunia 2018, awal pagi tadi. 


Skuad Denmark menempah tiket ke Russia dengan kemenangan 5-1 di Dublin menerusi hatrik Eriksen itu selain gol sendiri oleh Cyrus Christie dan penalti Nicklas Bendtner biarpun Shane Duffy terlebih dahulu meletakkan pasukan tuan rumah di depan.

O'Neill merombak bahagian bentengnya, terutama pada babak kedua, berikutan pasukannya memerlukan dua gol tetapi ia hanya memberi Eriksen waktu dan ruang untuk menghukum Ireland. 

Bintang Tottenham Hotspur itu telah melakar 11 gol sepanjang kempen kelayakan dan pencapaian itu mengejutkan jurulatihnya.

"Ia sangat baik, terutama apabila kami ketinggalan 1-0, kami tidak tertekan," kata Hareide kepada Sky Sports.

"Kami cuba mempamerkan rentak kami dan sebaik mendapat peluang, kami menyumbat gol. Aksi kami lebih berkesan berbanding semasa di Parken, keberkesanan sangat penting dalam bola sepak.

"Saya sangat gembira dengan pasukan ini, ini adalah gelanggang yang sukar -- mereka memadatkan ruang dan bagus, oleh itu untuk menjaringkan lima gol ke atas Ireland jarang berlaku.

"Saya terkejut, saya fikir mereka bermain dengan sistem 'berlian' dengan dua penggempur dan ia memberi banyak ruang di bahagian tengah untuk Eriksen, dan saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi ruang kepadanya!

"Mereka merantai dia dengan baik di Parken dengan Eriksen pula tidak bermain seperti kebiasaannya tetapi hari ini dia hebat.

"Dia selalu menjadi pemain hebat ketika bola dalam kawalannya, malah turut bekerja keras untuk pasukan sepanjang permainan dan dia menjadi inspirasi untuk semua pemain.

"Apabila anda memberinya bola, sesuatu akan berlaku. Itulah perbezaan di antara kedua-dua pasukan apabila anda mempunyai pemain bertaraf dunia.

"Semua pasukan memenangi perlawanan dan Piala Dunia mempunyai golongan pemain seperti ini," hujahnya lagi.

Eriksen sendiri melabelkan permainan itu sebagai kemuncak sepanjang hidupnya.

Perancang itu adalah pemain termuda dalam Piala Dunia 2010 yang menyaksikan Denmark tersingkir di peringkat kumpulan tetapi lebih banyak persembahan memukau dijangkakannya di Russia nanti. 

"Ini suatu perasaan yang luar biasa," katanya kepada Sky Sports. "Kami telah berjuang dalam dua perlawanan play-off yang sangat sukar tetapi kami meraih kejayaan dan kami sangat gembira dan saya sangat berharap ke Piala Dunia.

"Bukan selalu saya menjaringkan hatrik lalu membawa negara ke Piala Dunia dengan tiga gol di tempat lawan.

"Ia memberi makna besar dalam kerjaya dan sepanjang hidup saya, jadi ia adalah hal yang besar dan saya sangat gembira mengenainya," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen