Ousmane Dembele bakal terlepas pertembungan 'El Clasico' pertama musim ini selepas dikenakan penggantungan dua perlawanan oleh Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF).

Pemain sayap Barcelona itu dibuang padang pada minit-minit akhir dalam kemenangan 4-0 ke atas seteru LaLiga, Sevilla, Isnin lalu selepas membantah keputusan pengadil, Antonio Miguel Mateu Lahoz, yang baru saja melayang kad merah kepada pemain yang membuat kemunculan pertama, Ronald Araujo, ekoran kekasaran terhadap Javier Hernandez.

Menurut laporan pengadil perlawanan, Dembele berkata kepadanya, "Sangat teruk, anda sangat teruk", ketika pemain Barca mengelilinginya kerana membantah hukuman keras ke atas Araujo itu.

Barca membuat rayuan terhadap kad merah Dembele itu tetapi ditolak oleh RFEF sambil menjatuhkan larangan dua perlawanan kepada pemain antarabangsa Perancis berkenaan.

Untuk itu, dia akan menjadi penonton bagi aksi berdepan Eibar, Sabtu depan, sebelum melayani kunjungan Real Madrid, seminggu selepas itu.

Araujo pula digantung satu perlawanan, begitu juga Gerard Pique yang telah mengumpulkan lima kad kuning musim ini tetapi kedua-duanya boleh menghadapi Madrid.

Dembele telah membuat tiga penampilan LaLiga musim ini dan menjaringkan gol pertamanya ketika membenam Sevilla.

Selepas lapan perlawanan, Barca kini dua mata di belakang pendahulu, Real Madrid.