Fabian Delph telah mendapatkan penerbangan untuk kembali ke Russia bagi menyertai pasukan England dalam saingan Piala Dunia selepas menyambut kelahiran anak ketiganya.

Pemain tengah Manchester City itu pulang ke England dari Russia untuk bersama isterinya, Natalie, sejurus selepas aksi bertemu Belgium yang menyaksikan England tewas 1-0, sekali gus terlepas perlawanan pusingan kedua berdepan Colombia.

England akan berdepan Sweden di peringkat suku akhir selepas mengatasi Colombia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah Eric Dier menyempurnakan tendangan terakhir di Moscow.

Menerusi laman Instagram miliknya yang memaparkan gambarnya berada dalam pesawat, Delph menulis: "Saya telah mengharungi 24 jam yang hebat.

"Melihat rakan sepasukan berjuang dalam perlawanan yang getir menerusi fizikal dan mental, saya berasa emosi dengan setiap tendangan bola bersama pemain-pemain, staf pasukan serta semua peminat.

"Pada jam 7:52 pagi, saya, isteri bersama dua anak perempuan telah menyambut kelahiran bayi perempuan. Saya tidak dapat menggambarkan kebahagiaan ini. Kini, kembali ke Russia."