De Vrij intai kontrak baru

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2017 164
De Vrij intai kontrak baru
Pertahanan Belanda, Stefan de Vrij, sedang mengadakan perbincangan berhubung kontrak baru bersama kelab Serie A, Lazio.

Pemain yang menjadi buruan Manchester United dan Liverpool itu kini berada di tahap terbaik bersama skuad kendalian Simone Inzaghi, membantu Lazio berada di kedudukan keempat liga selepas lapan perlawanan.

Dia beraksi selama 90 minit ketika Lazio bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan juara bertahan, Juventus, 2-1 dalam perlawanan kelmarin.

Selepas perlawanan itu, De Vrij menjelaskan bahawa dia tidak merancang untuk meninggalkan pasukan dari Rome itu dalam masa terdekat.

"Selain daripada beraksi baik sebagai satu pasukan, antara perkara bagus di sini adalah persahabatan antara pemain-pemain," katanya.

"Saya sangat gembira berada bersama Lazio. Kami sedang mengadakan perbincangan dan saya berharap persetujuan akan dapat dicapai.

"Anda tidak tahu apa yang bakal berlaku. Saya mahu terus berkembang dan meningkatkan kualiti serta melakukan keputusan yang terbaik untuk karier," katanya.

De Vrij menyertai Lazio dari Feyenoord pada 2014 dan kontraknya bakal tamat pada Jun 2018.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen