Daniele De Rossi mendedahkan mengenai impiannya untuk menjadi jurulatih AS Roma dan sanggup menunggu selama 20 tahun untuk mendapatkan jawatan itu.

Bekas kapten skuad Giallorosi itu melakukan 616 penampilan sepanjang mewakili kelab berkenaan sebelum berpindah ke Boca Juniors untuk menamatkan kariernya.

Dengan usia yang sudah menjangkau 36 tahun dan baru sahaja mengumumkan persaraannya, dia masih belum bersedia untuk meninggalkan bola sepak dan percaya kemampuannya sebagai seorang pemimpin di atas padang dapat dimanfaatkan dalam bidang kejurulatihan.

Bagaimanapun, De Rossi menegaskan bahawa dia perlu membuktikan dahulu kemampuannya sebagai pengendali sesebuah pasukan sebelum mengambil cabaran di peringkat tertinggi.

Bercakap kepada Sky Sport Italia, De Rossi berkata bahawa dia mahu melawat beberapa jurulatih seperti Pep Guardiola di Manchester City bagi mempelajari kepakaran mereka.

"Saya mengikuti perjalanan yang bukannya unik tetapi langka.

"Bermain untuk satu pasukan selama 20 tahun tidak berlaku setiap hari.

"Ia tidak akan terjadi jika saya menjadi jurulatih, terutama di Roma.

"Satu hari nanti, saya mahu melatih Roma tetapi saya perlu menjadi jurulatih terlebih dahulu.

"Sama seperti laluan itu, terdapat perkembangan yang perlu dilalui oleh setiap jurulatih muda.

"Dalam beberapa hari lagi, saya akan berubah daripada pemain bola sepak tua kepada jurulatih muda, jadi saya mula melihat setiap perkara dengan kedamaian dan ketenangan.

"Saya tidak mahu tergesa-gesa untuk melakukannya: ia boleh berlaku dalam lima, 10 atau 20 tahun lagi.

"Tetapi ia hanya akan berlaku apabila saya sudah cukup bagus, bukan kerana saya pernah menjadi pemain penting buat pasukan ini.

"Saya sentiasa dikenali sebagai pemimpin, jadi mungkin saya akan memanfaatkannya tetapi menjadi seorang jurulatih memerlukan sesuatu yang lebih daripada itu," kataya.

De Rossi, yang memenangi Piala Dunia bersama Itali pada 2006, menyedari bahawa dia memerlukan kepakaran yang hanya akan diperoleh dengan berbincang dan pemerhatian dengan jurulatih elit.

"Saya akan berjumpa dengan ribuan jurulatih kerana saya perlu melakukannya.

"Seorang bayi yang baru belajar berdiri tidak dapat melihat bagaimana mereka yang lebih tua duduk. Saya seorang bayi buat masa ini.

"Akan terdapat kunjungan profesional tetapi ia pasti menarik kerana saya sukakan dunia ini," katanya lagi.