Matthijs de Ligt meletakkan sasaran untuk mencipta kejayaan bersama Juventus selepas meraih anugerah individu ketika majlis Ballon d'Or semalam.

Pemain kebangsaan Belanda itu telah dinobatkan sebagai pemenang Trofi Kopa 2019, anugerah bagi mengiktiraf pemain terbaik dunia bawah 21 tahun.

De Ligt menyifatkan anugerah itu sebagai satu penghormatan dan berharap ia bukanlah kali terakhir dia meraih gelaran musim ini.

Juve, kelab yang disertainya daripada Ajax, Julai lalu, sudah lama mendambakan kejayaan untuk muncul pemenang Liga Juara-Juara (UCL) dan kini sengit bersaing dengan Inter dalam Serie A.

"Inter bakal menjadi cabaran sukar kerana mereka adalah pasukan berkualiti dengan pemain-pemain ternama," kata De Ligt kepada wartawan di Paris.

"Tetapi musim ini masih lagi panjang dan bagi kami, perkara paling penting adalah kemenangan dalam setiap perlawanan."
"Dalam saingan liga atau kejuaraan? Tiada beza, semuanya penting. Kami mahu menang kesemuanya.

"Di Juve, terdapat barisan pertahanan bertaraf dunia yang mampu membantu saya menjadi lebih berkualiti."

De Ligt merupakan sebahagian daripada skuad Juve yang seri 2-2 dengan Sassuolo di laman sendiri, sekali gus membenarkan Inter ke puncak Serie A dengan perbezaan satu mata.

The Bianconeri dijangka bangkit dalam aksi bertemu Lazio, Sabtu ini.