Pertahanan Juventus, Matthijs de Ligt, berharap dapat terus beraksi bersama juara Serie A itu untuk jangka panjang.

Pemain berusia 20 tahun itu menyertai Juve daripada Ajax dengan yuran perpindahan EURO75 juta (RM344 juta), dengan menandatangani kontrak selama lima tahun bersama The Old Lady.

Pemain kebangsaan Belanda itu berharap dapat kekal di Turin untuk jangka panjang dan berbangga menyarung jersi Juventus.

"Saya sangat gembira di Turin, saya berharap dapat kekal di sini selama yang mungkin," kata De Ligt kepada Juventus TV.

"Saya benar-benar berbangga apabila beraksi untuk kelab gergasi seperti Juve."

De Ligt turun 12 kali dalam kesebelasan utama saingan Serie A buat Juve, yang kini berkongsi mata dengan Inter selepas 17 perlawanan.

Pertahanan itu mahu terus meningkatkan mutu permainan dan menyasarkan gelaran bersama kelab itu tahun depan.

"Perkara paling penting adalah sentiasa mempelajari sesuatu dan berkembang menjadi pemain yang lebih baik," kata De Ligt.

"Saya mahu menang sebanyak trofi yang mungkin. Saya mahu membantu pasukana mencapai sasaran. Jika anda bermain untuk Juventus, anda harus berusaha untuk memenangi segala-galanya."