Frenkie De Jong berpendapat dia tidak akan berada di tahap permainan seperti Johan Cruyff walaupun corak permainannya mula dibandingkan dengan legenda Belanda itu tetapi menegaskan ia tidak akan mengganggunya.

Pemain berusia 21 tahun itu merupakan salah seorang pemain Ajax yang paling menyinar musim ini sehingga meletakkan pasukannya menduduki tangga kedua Liga Eredivisie selepas 13 perlawanan, termasuk ketika membenam NAC Breda 3-0 di tempat lawan, kelmarin.

Kemenangan itu hadir selepas sumbangan penting De Jong dalam kemenangan 2-0 Belanda ke atas Perancis dan seri 2-2 dengan Jerman dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA.

"Saya tidak cuba untuk menarik perhatian dan hanya fokus dengan apa yang dilakukan.

"Tentunya bagus untuk mendengar tentang perbandingan itu tetapi saya jauh daripada tahap Cruyff dan tidak akan menjadi sepertinya. Saya tidak memikirkan perkara itu."

De Jong menjadi sasaran media yang mengaitkannya dengan jalan keluar daripada Ajax tatkala Barcelona dilaporkan berminat untuk membawanya ke Camp Nou bersama pertahanan berusia 19 tahun, Matthijs De Ligt.

De Ligt mempamerkan aksi cemerlang bagi musim lalu di peringkat kelab dan negara sehingga dinamakan dalam senarai calon bagi anugerah Bola Emas.

Namun, dia memberi reaksi sebaliknya: "Saya tidak rasa saya seorang pemain emas kerana saya hanya manusia biasa.

"Sudah tentu ia sesuatu yang baik tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku."