Frenkie de Jong mendedahkan pemecatan Ernesto Valverde pada Januari lalu telah membuka matanya mengenai standard yang ditetapkan di Barcelona.

Pemain tengah Belanda itu tiba daripada Ajax pada Julai lalu tetapi beraksi di bawah ketua jurulatih, Valverde, selama enam bulan.

Persembahan longlai Barca dalam aksi Supercopa de Espana menentang Atletico Madrid jelas menjadi kemuncak kesabaran pengurusan tertinggi kelab.

Sewaktu Valverde dipecat, Barca menduduki puncak LaLiga, mengatasi Real Madrid dengan kelebihan gol dan mereka melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.

Pemecatan Valverde dan kehadiran Quique Setien menunjukkan kepada De Jong mengenai tuntutan tinggi buat kelab Sepanyol itu.

"Terutamanya di Barca," katanya.

"Ia mirip kepada Ajax, anda perlu beraksi cemerlang dan memenangi segalanya.

"Apabila satu atau dua nama tiada, sukar untuk pasukan dan jurulatih, jadi tekanan sangat tinggi. Mereka menuntut aksi terbaik dunia dan memenangi semua trofi tetapi saya sukakannya."

Walaupun De Jong menghargai harapan tinggi yang diletakkan dan mula memahami kehidupan di Camp Nou, dia tetap rasa bersalah atas pemecatan Valverde.

"Sudah tentu kerana apabila jurulatih dipecat, ia berdasarkan persembahan pasukan dan pemain juga bertanggungjawab," tambahnya.

"Namun, anda pasti rasa bersalah kerana pemain perlu buktikannya di atas padang.

"Kami tidak begitu teruk kerana menduduki tangga teratas liga sewaktu dia dipecat."