Penjaga gol Sepanyol, David De Gea, menyifatkan pasukannya beraksi sangat buruk sehingga tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2018 tetapi berikrar juara 2010 itu akan bangkit.

De Gea gagal menafikan kesemua tendangan pemain Russia ketika penentuan sepakan penalti yang menyaksikan pasukannya tewas 4-3 dalam aksi pusingan kedua di Moscow, semalam.

Koke dan Iago Aspas gagal menyempurnakan tendangan masing-masing selepas ditepis oleh Igor Akinfeev bagi membolehkan Russia menyingkirkan skuad La Roja itu.

Bagaimanapun, De Gea yang dikritik selepas mempamer aksi buruk sepanjang Piala Dunia berikrar pasukannya akan bangkit.

"Buat semua yang telah memberikan sokongan, ada bersama kami dan melontarkan kritikan dengan penuh hormat, terima kasih," katanya menerusi laman Twitter peribadi.

"Kami beraksi buruk tetapi Sepanyol akan bangkit dan tidak berputus asa."

De Gea pastinya mahu melupakan aksinya di Russia selepas hanya menyelamatkan satu daripada 11 percubaan yang datang kepadanya, termasuk sepakan penalti.