Pengurus Belgium, Roberto Martinez, yakin bahawa Kevin De Bruyne akan meningkatkan kualitinya setaraf dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Pemain tengah Manchester City itu kini berada pada prestasi terbaik dalam saingan liga apabila mengetuai senarai bantuan jaringan selain menjaringkan gol ketika membantu The Citizens menundukkan Arsenal 3-1 di Etihad, hujung minggu lalu.

Pengurus City, Pep Guardiola, secara terbuka memuji kebolehan dan persembahan De Bruyne tetapi tidak mahu membandingkannya dengan Messi.

Bagaimanapun, nada berbeza disuarakan Martinez dan bekas pengendali Wigan Athletic itu yakin pemain berusia 26 tahun itu akan memainkan peranan besar dalam usaha Belgium merangkul kejuaraan Piala Dunia, tahun depan.

"Sudah pasti dia mampu mencapai tahap yang sama dengan Messi dan Ronaldo," kata Martinez.

"Saya rasa apabila membandingkan pemain anda dengan dua bintang ini, tentunya anda harus mengekalkan persembahan yang terbaik dan ia berlaku setiap musim.

"De Bruyne membuktikannya pada musim lalu dan saingan terkini dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). Tidak ramai pemain yang sepertinya," katanya.

Dalam masa sama, Martinez juga memuji cara Guardiola mengendalikan De Bruyne untuk mendapatkan aksi terbaik.

"Saya rasa aksi De Bruyne adalah sesuatu yang dimahukan oleh pengurus.

"Guardiola berjaya meningkatkan kualiti yang ada pada De Bruyne sehingga memberikan impak besar di atas padang," tambahnya.