De Bruyne label Euro 2020 'kejohanan palsu'

Oleh Staff Writer 21 November 2019 3513
De Bruyne label Euro 2020 'kejohanan palsu'
Pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne, melabel Euro 2020 sebagai "kejohanan palsu" dan mendakwa format undian kejohanan itu sebagai satu petanda ia telah menjadi perniagaan dan bukan lagi acara sukan.

Skuad kendalian Roberto Martinez itu memenangi kesemua 10 perlawanan peringkat kelayakan dalam Kumpulan I dan layak secara automatik ke kejohanan utama itu tahun depan -- berlangsung di 12 bandar berbeza di seluruh Eropah.

Undian peringkat kumpulan akan berlangsung 30 November ini tetapi berdasarkan undang-undang yang melibatkan negara penganjur, Belgium menyedari mereka akan berada dalam Kumpulan B bersama Russia dan Denmark.

Belgium sudah boleh melanjutkan perancangan mereka untuk menghadapi kejohanan utama itu, namun bintang Manchester City berkenaan tidak gembira dengan format pertandingan seperti itu.

"Ia memalukan," katanya kepada VTM Nieuws selepas menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menewaskan Cyprus 6-1 semalam.

"Bagi saya, ia seakan-akan kejohanan palsu.

"Bola sepak semakin dijadikan perniagaan dari hari ke hari," katanya.

De Bruyne telah diturunkan dalam enam daripada 10 perlawanan peringkat kelayakan itu dan menghasilkan empat gol dan enam bantuan jaringan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen