Alphonso Davies meningkatkan reputasinya sebagai "raja pecut" selepas mencatatkan larian terpantas dalam Bundesliga sejak rekod Opta dikumpulkan.

Pertahanan kiri Bayern Munich itu antara bintang sedang meningkat naik musim ini dengan menjadi muka tetap di posisi itu sejak tiba daripada Vincouver Whitecaps tahun lalu.

Kelincahan luar biasa Davies telah menarik perhatian ramai pihak dengan kemampuannya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan lawan untuk membantu bahagian serangan sehingga rakan sepasukannya, Thomas Muller, memberikan gelaran "Road Runner FC Bayern" buat pemain berbangsa Kanada itu.

Dan pemain berusia 19 tahun itu sekali lagi mencuri tumpuan dalam perlawanan menentang Werder Bremen di Weserstadion awal pagi tadi -- yang dimenangi Bayern 1-0 untuk mengesahkan kejuaraan Bundesliga kelapan berturut-turut.

Davies merekodkan kelajuan sepantas 36.51km/j ketika dia mendominasi bahagian sayap dalam babak pertama.

Ia merupakan rekod terpantas yang pernah dilakukan mana-mana pemain sejak data Opta dikumpulkan dalam musim 2013-14.