David Silva diuji positif COVID-19 selepas hadiri sidang media

Oleh Shaiful Shamsudin 1 September 2020 327
  David Silva diuji positif COVID-19 selepas hadiri sidang media
Pemain baru Real Sociedad, David Silva, diuji positif COVID-19.

Bagaimanapun, pemain berusia 34 tahun itu, yang bergabung dengan pasukan LaLiga berkenaan bulan ini sejurus meninggalkan Manchester City, tidak menunjukkan sebarang gejala dan telah pun memulakan tempoh pengasingan diri.

Berita mengenai pemain tengah itu dijangkiti COVID-19 tersebar luas beberapa jam selepas media Really Arena Sociedad menyiarkannya semalam. 

Kelab itu menerusi Twitter mengumumkan: "Sociedad dimaklumkan bahawa @21LVA positif COVID-19 dalam ujian yang dijalankan di Policlínica Gipuzkoa.

"Pemain itu tidak menunjukkan sebarang gejala dan telah mengasingkan diri."
 

Kempen LaLiga Sociedad bermula dengan perjalanan ke Real Valladolid pada 14 September.

Terlebih dahulu, Silva meluahkan hasrat untuk menjulang piala bersama Sociedad sebaik beralih daripada City.

Pemain lincah itu memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), lima Piala Liga Inggeris (EFL) serta dua Piala FA sepanjang berkelana ke England.

Sociedad menduduki tangga keenam LaLiga dalam kempen 2019-20 tetapi hanya menang dua kali daripada 11 perlawanan ketika baki kempen musim ini bersambung Jun lalu. 

Namun, Silva yakin kelab barunya itu mampu mencabar Barcelona dan Real Madrid bagi meraih trofi pada musim depan. 

"Saya sangat teruja untuk bermula di sini dan bertemu rakan sepasukan dan kakitangan kelab saya yang baru," katanya dalam sidang media.

"Pasukan ini menampilkan corak permainan yang hebat dan saya berharap dapat menambahkan (kualitinya) dan mengharungi beberapa tahun yang hebat di kelab ini.

"Saya meletakkan harapan yang tinggi daripada segi bola sepak yang akan kami persembahkan dan saya fikir kami boleh bersaing untuk merebut gelaran. 

"Saya akan menjadi bahagian penting pasukan ini dan dalam soal ini saya akan menyandarkan kepada pengalaman sendiri selain membantu pemain muda.

"Saya cukup bernasib baik untuk memenangi banyak gelaran dalam karier saya.

"Saya sangat kompetitif dan saya akan cuba dan melakukan perkara yang sama di sini kerana itulah sebabnya saya dibawa masuk."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen