Darren senjata utama robek Hong Kong

Oleh Penulis Jemputan 9 Oktober 2017 2891
Darren senjata utama robek Hong Kong
Penyerang pasukan kebangsaan kelahiran England, Darren Lok, dan pemain sayap kiri, Safawi Rasid, bersedia memainkan peranan penting untuk aksi getir menentang Hong Kong dalam kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, Esok.

Walaupun kini tampil selaku penyerang tulen tunggal skuad negara, Darren sedikitpun tidak berasa tertekan.

Malah, dia juga menyifatkan pendekatan Hong Kong yang menambah lima lagi pemain naturalisasi dalam pasukan akan meningkatkan lagi motivasi pemain negara.

"Saya fikir ia satu motivasi. Mereka mempunyai beberapa pemain naturalisasi dan ia memberikan mereka sedikit kelebihan secara fizikal tetapi ia tidak memberi maksud apa-apa. 

"Disebabkan mereka mempunyai beberapa pemain naturalisasi, ia bukan bermakna mereka lebih baik daripada kita.

"Jika kita bermain baik seperti menentang Hong Kong sebelum ini, kita boleh mengutip tiga mata," katanya.

Nada sama turut dilontarkan Safawi yang juga rakan sepasukan Darren dalam pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Safawi menyifatkan kehadirannya bersama empat lagi pemain skuad bawah 22 tahun negara kini turut membuat barisan negara lebih seimbang.

"Dengan ketiadaan (Muhammad) Shahrel (Fikri) dan (Ahmad) Hazwan (Bakri), ini mungkin rezeki saya.

"Jurulatih memberi kepercayaan kepada saya dan jika diturunkan, saya akan bermain habis-habisan untuk perlawanan kali ini.

"Saya rasa tiada masalah sebab selepas dua, tiga hari berlatih dengan pasukan, tiada perbezaan berlaku.

"Ia satu kombinasi di antara pemain junior dan senior, dengan banyak taktikal diterapkan. Kami tiada masalah untuk berdepan Hong Kong," katanya.

Malaysia setakat ini hanya mengumpul satu mata dalam Kumpulan B selepas terikat 1-1 menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 September lalu.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen