Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Darren Lok, mengakui dia kini lebih bersedia menyarung jersi negara untuk menentang Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Darren meraih jaringan pertamanya buat negara ketika kekalahan 1-2 Malaysia kepada Syria dalam aksi persahabatan pada 22 Ogos lalu.

"Saya dapat berasa tahap keyakinan saya semakin meningkat. Sebelum ini saya dibelenggu masalah kecederaan.

"Tetapi keadaan saya semakin baik dan sudah mula mencipta jaringan, dan yang terbaru ketika bertemu Syria walaupun ia sekadar daripada sepakan penalti. Ia memberikan motivasi kepada saya," katanya.

Kelibat Darren pada awal musim sedikit terbatas kerana kecederaan buku lali tetapi sejak kembali cergas, dia kerap diberi peluang pengendali JDT, Ulisies Morais, dalam saingan Liga Super.

Kemunculan semula dalam skuad utama juara Liga Super itu turut menambah keyakinan Darren bersama barisan negara.

"Perlawanan esok (malam ini) sangat penting untuk Malaysia. Kami perlu meraih kemenangan ke atas Hong Kong.

"Terdapat tekanan untuk menghadapi perlawanan ini tetapi kami telah membuat persiapan yang rapi," tambahnya.