Penyerang baru negara, Darren Lok, bersedia berdepan Singapura dalam aksi persahabatan pada Jumaat walaupun itu mungkin menjadi penampilan sulungnya bersama Harimau Malaysia.

Walaupun baru saja bersama barisan kebangsaan, pemain kelahiran England ini sudah mengetahui tiada aksi mudah berdepan Singapura yang juga seteru utama skuad negara.

Sebelum ini, pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, tidak menolak kemungkinan pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) ini akan digunakan berdepan Singapura.

Darren ingin membalas kepercayaan Kim Swee terhadapnya di atas padang ketika berdepan Singapura bagi mengukuhkan kedudukannya dalam senarai akhir ke Piala Suzuki AFF bulan depan.

“Saya telah bersedia untuk beraksi kerana menyedari persaingan sengit di antara Malaysia dan Singapura, ia merupakan perlawanan yang penting dan saya tidak sabar menantikan perlawanan ini,” kata Darren.

Dalam pada itu, tonggak tengah negara, Baddrol Bakhtiar, memberi jaminan dia dan rakan sepasukan akan bersedia berdepan Singapura.

Bagi Baddrol, setiap aksi berdepan Singapura pasti mengerah aksi terbaik pemain untuk memastikan keputusan positif.

“Singapura merupakan pasukan yang kuat, mereka akan memberikan saingan yang sengit ketika bertemu Malaysia. Kami akan cuba bertahan dengan baik dan mengikut arahan yang diberikan oleh jurulatih,” ujar Baddrol.