Darren buat Vingada pening kepala

Oleh Penulis Jemputan 9 Oktober 2017 9203
Darren buat Vingada pening kepala
Pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Nelo Vingada, kini dihimpit kerisauan mengenai tahap kecergasan penyerang, Darren Lok, serta pemain tengah, Kiko Insa, menjelang aksi kelayakan Piala Asia berdepan Hong Kong, esok.
 
Semalam, Darren dan Kiko tetap menjalani latihan di Hong Kong dan walaupun kecederaan kedua-dua pemain itu tidak serius, Vingada mengambil pendekatan berwaspada.

Ketika sesi latihan pada hari ini, Darren mengadu berasa tidak selesa di bahagian pangkal paha manakala Kiko masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan betis.

"Kami mempunyai dua pemain yang masih tidak berada pada tahap kecergasan 100 peratus (Darren Lok dan Kiko Insa), tetapi kami masih memiliki hampir 24 jam untuk membuat keputusan.

"Kami sentiasa meneliti setiap perkembangan dan keadaan ini tidak boleh dijadikan alasan bagi perlawanan esok. Pemain-pemain kini berada dalam keadaan positif," katanya.

Dalam masa sama, tonggak tengah negara, Baddrol Bakhtiar, mengakui Vingada sudah merangka perancangan taktikal seandainya Darren tidak dapat diturunkan.

Jika penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak cukup cergas untuk memulakan perlawanan, terdapat kemungkinan Vingada menggunakan taktikal tanpa penyerang.

"Mengikut perancangan jurulatih, kalau esok Darren tidak dapat diturunkan, serangan akan lebih tertumpu di bahagian tepi.

"Tidak kira di mana posisi yang saya akan diturunkan, saya akan memberikan 100 peratus dan akan bermain dengan sebaik mungkin," ujar Baddrol.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen