Danilo bermotivasi untuk menjadi pemain yang lebih baik di Juventus menerusi bantuan bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo, dan pengurus, Maurizio Sarri.

Bek dari Brazil itu berpindah ke Turin minggu lalu sebagai sebahagian daripada perjanjian yang menyaksikan Joao Cancelo ke Manchester City.

Dia akan bekerjasama semula dengan pemenang lima kali Balon d'Or itu di Stadium Allianz setelah memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara (UCL) bersama-sama di Madrid.

Bercakap dalam sidang akhbar, Danilo berseloroh bahawa dia telah meminta jersi nombor 7 yang disarung bintang Portugal itu.

"Saya sempat bercakap dengannya sebelum datang ke sini. Saya berkata kepadanya bahawa saya mahukan jersi nombor 7 itu, tetapi ia sudah diambil," katanya.

"Dia menyanjung tinggi Juventus dan bermain di sampingnya akan menjadi motivasi tambahan, saya mendapati Ronaldo sangat bermotivasi dan gembira.

"Dia menyatakan kelab ini seperti keluarga dan ini memberi keyakinan kepada saya."

Danilo angkat kaki ke juara Itali itu untuk menyertai bekas pengurus Chelsea dan Napoli, Sarri, yang dilantik sebagai pengganti Massimiliano Allegri.

"Sarri mempunyai gaya permainan yang sangat khusus," kata pemain berusia 28 tahun itu. "Dia suka memberi arahan. Napoli dan Chelsea merupakan dua pasukan yang sukar dihadapi.

"Saya sukakan gaya permainan yang diterapkannya dan saya sudah bersedia untuk belajar dan berkembang setiap hari. Sarri meminta supaya saya lebih teliti dalam fasa bertahan dan saya bebas untuk menyerlahkan potensi yang dimiliki.

"Saya tidak fikir saya akan menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri kerana saya tahu elemen pertahanan sangat penting di Itali. Saya sudah berusia 28 tahun tetapi tetap terbuka untuk belajar apa sahaja yang saya perlukan demi menjadi pemain yang lebih baik."

Selepas kerap digunakan sebagai pemain gantian di City yang menyaksikannya tampil 34 kali sepanjang dua musim dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Danilo berasakan sudah tiba masanya untuk menghadapi cabaran baru.

"Setiap saat adalah penting untuk membantu membentuk anda sebagai pemain," katanya yang akan memakai nombor 13.

"Walaupun saya tidak beraksi seperti yang diingini, tahun-tahun seperti itu adalah asas dan ia akan membantu saya untuk memiliki mentaliti yang betul untuk berada di Juve.

"Penampilan pertama saya berjalan dengan baik. Saya menerima sambutan hangat dan saya sangat seronok dalam beberapa hari pertama di sini. Saya pernah dilamar Juventus pada masa lalu tetapi saya percaya bahawa ini adalah masa yang tepat untuk berada di sini."