Danilo kembali menjalani latihan penuh dengan Juventus selepas pulih daripada kecederaan paha.

Pemain berusia 28 tahun itu, yang dipancing daripada Manchester City, Ogos lalu, terpaksa dikeluarkan dalam kemenangan 2-1 di Brescia pada 24 September lalu.

Bagaimanapun, kelab itu mengumumkan Danilo telah mula mengambil bahagian dalam sesi di pusat latihan Juventus.

Dengan itu, dia boleh terlibat dalam pertembungan liga dengan Bologna, awal pagi Ahad ini.

Aaron Ramsey, yang terlepas perlawanan kelayakan Euro 2020 ketika Wales menentang Slovakia dan Croatia berikutan kecederaan di bahagian otot, turut mengambil bahagian dalam latihan ringan.

Mattia De Sciglio dan pemain sayap kanan, Douglas Costa, pula menjalani program latihan individu, demikian umum Juventus di laman sesawangnya manakala Rodrigo Bentancur dan Miralem Pjanic diberi cuti tambahan setelah mengikuti jadual antarabangsa.

Juara bertahan itu kini menerajui puncak Serie A selepas mengharungi tujuh perlawanan tanpa kalah dalam kempen itu.