Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Dali Wahid sebagai pengerusi jawatankuasa pengadil badan induk itu selepas jawatankuasa eksekutif hari ini menerima peletakan jawatan Subkhiddin Mohd Salleh.

Subkhidin membuat kejutan apabila mengumumkan melepaskan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil selepas satu sidang media di Wisma FAM, 5 November lalu.

Keputusan itu dibuat selepas pelbagai kecaman yang diterima mengenai mutu pengadilan dalam aksi final Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu sehingga membabitkan ahli keluarganya.

FAM yang tampak berat hati untuk melepaskan Subkhiddin yang memiliki pengetahuan luas dalam aspek pengadilan, terpaksa menghormati pendirian bekas pengadil FIFA itu.

"Setelah beberapa siri perbincangan diadakan dengan presiden dan Subkhidin kekal dengan keputusannya, jadi kami menghormati keputusannya. Ia bermakna terdapat satu kekosongan untuk exco," kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Keenam bagi penggal 2017-2021 yang diadakan di ibu negara, hari ini.

Mengisi kekosongan yang ditinggalkan Subkhiddin ialah Dali yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Status FAM.

"Dalam kongres akan datang, kami akan meminta agar pencalonan seorang lagi untuk mengisi tempat Subkhiddin selaku exco. Kami lantik Dali sebagai pengerusi jawatankuasa pengadil," ujarnya.

Dalam masa sama, FAM tidak menolak kemungkinan dua pasukan Piala FAM, iaitu Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), akan dinaikkan pangkat ke saingan Liga Perdana bagi musim 2019.

Kedua-dua pasukan itu dikatakan cukup bersedia dan berminat untuk beraksi dalam liga berkenaan, namun masih menunggu lampu hijau daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Ada beberapa pasukan daripada Liga Perdana akan menarik diri dan tidak beraksi. Sememangnya perlu ada kenaikan pasukan hasil kelulusan daripada badan pengurusan MFL," ujar Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Perlis dan ATM merupakan antara lima pasukan yang layak beraksi dalam Piala FAM selain MPKB, Young Fighters dan Kuching FA.

Badan induk itu tampak melakukan perubahan format kejohanan berkenaan susulan dijangka berlaku kekurangan penyertaan pasukan musim depan.

"Kualiti pasukan yang akan dimasukkan ke dalam Divisyen Tiga atau Piala FAM serta Liga M3, pasukan amatur dalam kategori itu mesti stabil."