CROATIA 4 GREECE 1

Croatia membawa bekalan selesa untuk menghadapi perlawanan kedua playoff kelayakan Piala Dunia 2018 zon Eropah apabila menewaskan Greece 4-1 di Stadion Maksimir, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Zlatko Dalic itu hanya memerlukan 13 minit untuk membuka tirai jaringan selepas penjaga gol lawan menjatuhkan Nikola Kalinic di dalam kotak penalti.

Bintang Real Madrid, Luka Modric, tidak melepaskan peluang menerusi sepakan penalti itu untuk meletakkan tuan rumah di depan sebelum Kalinic menambah gol kedua enam minit kemudian, selepas menerima hantaran leret Ivan Strinic.

Pelawat cuba mempamerkan kebangkitan pada minit ke-30 menerusi kapten pasukan, Sokratis Papastathopoulos, yang menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Konstantinos Fortounis dari sebelah kanan pintu gol Croatia.

Bagaimanapun, harapan untuk bangkit itu hanya bertahan tiga minit apabila pemain sayap Inter Milan, Ivan Perisic, melonjak tinggi untuk menyempurnakan hantaran lintang Sime Vrsaljko dari sebelah kanan, membolehkan tuan rumah mendahului 3-1 menuju rehat.

Bersambung babak kedua, Croatia hanya memerlukan empat minit untuk terus memberikan duka buat Greece apabila menambah gol keempat.

Kesilapan Domagoj Vida yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membolehkan Vrsaljko pantas menyambar peluang sebelum membuka ruang buat Andrej Kramaric untuk memberikan kedudukan selesa buat Croatia.

Kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan, yang memberikan bekalan selesa buat anak-anak buah Dalic menjelang aksi timbal balik pada awal pagi Isnin ini.