Zlatko Dalic memberitahu Croatia supaya melupakan Mario Mandzukic ketika beliau sedang berusaha untuk mencari pengganti penyerang Juventus itu.

Mandzukic bersara daripada perlawanan anatarbangsa selepas mara ke final Piala Dunia dan Croatia sekadar menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan dengan yang terbaru, mereka seri tanpa jaringan dengan England, semalam.

Croatia masih lagi diigau kekalahan 6-0 kepada Sepanyol sebelum ini tetapi Dalic menegaskan pasukan perlu memberikan tumpuan kepada masa depan.

"Kami perlu melihat ke hadapan dan melupakan Mandzukic, kami perlu melupakannya.

"Dia telah membuat keputusan dan kami harus menghormatinya."

Perlawanan di antara England dan Croatia dilangsungkan tanpa penonton kerana Croatia didenda dalam aksi kelayakan Euro 2016 berdepan Itali apabila simbol swastika berada di atas padang.

Percubaan England terkena palang dua kali menerusi Eric Dier dan Harry Kane manakala Marcus Rashford terlepas dua peluang keemasan dalam babak kedua perlawanan.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar. Kami cuba menampilkan permainan yang agresif.

"Sukar untuk bangkit daripada kekalahan yang besar. Kami perlu lebih berani ketika menyerang dan mengawal bola dengan lebih baik.

"Beraksi dalam stadium kosong tanpa penyokong bukan sesuatu yang mudah. Kami berharap 30,000 penonton dapat turun menyaksikan perlawanan berdepan Sepanyol di Stadium Maksimir," ujar Dalic.