Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, berkata Cristiano Ronaldo merupakan inspirasi kepada pemain muda skuad itu.

Penyerang Real Madrid itu dijangka membuat aksi pertamanya selepas membantu negaranya menjulang Euro 2016 apabila berdepan Andorra dalam kelayakan Piala Dunia pada Jumaat.

Ronaldo, yang dikeluarkan pada babak pertama dalam kemenangan 1-0 ke atas Perancis dalam final, cekal berada di tepi padang untuk memberi semangat kepada rakan sepasukannya sepanjang perlawanan.

Santos melihat kejayaan pemain itu di peringkat kelab -- termasuk tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah -- menjadi sumber motivasi kepada bintang muda skuad tersebut.

"Bila kamu memiliki pemain terbaik dunia, apa yang kamu jangkakan akan berlaku? Dia adalah Cristiano Ronaldo," katanya.

"Sudah tentu, dia sentiasa mahu mewakili skuad negara. Dia bukan sahaja memiliki kualiti, bahkan juga kehadirannya membawa makna kepada pemain lain.

"Dia sudah merangkul pelbagai kejuaraan dan sentiasa mendahagakan kemenangan. Aspek ini penting buat pasukan ini yang memiliki ramai pemain muda yang bakal memulakan langkah pertama mereka.

"Ramai daripada mereka yang memiliki kejuaraan, namun tidak sebanyak Ronaldo. Pemain seperti ini penting kerana dia membawa nilai kepada pasukan."

Portugal tewas 2-0 dalam aksi pembukaan berdepan Switzerland, namun Santos menegaskan dia enggan gusar dengan situasi itu.

"Saya yakin Portugal akan layak ke Russia 2018. Kami memiliki kualiti dan pemain saya sedar mereka berkeyakinan untuk mara.

"Ini adalah pengalaman pertama saya di pentas Piala Dunia bersama Portugal. Pemain saya juga mahu beraksi di kejohanan berprestij itu."