Bekas Presiden Marseille, Pape Diouf, meninggal dunia malam tadi akibat jangkitan wabak koronavirus baru (Covid-19) pada usia 68 tahun.

Diouf, yang menjadi presiden kelab Ligue 1 itu di antara 2005 dan 2009, meninggal dunia di Senegal.

Dalam satu kenyataan di Twitter, Marseille menulis: "Olympique de Marseille meratapi kematian Pape Diouf.


"Pape akan kekal selama-lamanya di hati Marseillais sebagai salah seorang presiden terhebat dalam sejarah kelab ini.

"Takziah buat keluarga dan orang tersayangnya."

Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Noel Le Graet, juga memberi penghormatan kepada Diouf.

"Dia seorang yang penting dalam bola sepak kami, seorang lelaki yang berkualiti, luar biasa, sedia mendengar dan dihormati menerusi personaliti sebenar sebagai menghormati permainan, pemain," katanya.

"Dia bersemangat, penuh keyakinan dan sentiasa bersikap sangat sopan. Bagi pihak FFF, saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayangnya."

Covid-19 telah meragut nyawa lebih daripada 42,000 orang dengan kes positif di seluruh dunia melebihi 854,000.