Pemain tengah Real Madrid, Federico Valverde, bersedia untuk merebut kejuaraan LaLiga selepas kejohanan itu direhatkan gara-gara pandemik Covid-19.

LaLiga direhatkan sejak Mac lalu berikutan pandemik berkenaan dan berkemungkinan akan kembali bersambung bulan depan.

Madrid kini ketinggalan dua mata di belakang seteru utama, Barcelona, selepas 27 perlawanan sebelum penangguhan liga berkenaan.

Wabak koronavirus menjejaskan Sepanyol dan seluruh dunia, dan bintang Madrid, Valverde, berkata dalam Real Madrid TV: "Kami perlu terus berlatih dengan gigih sepanjang baki musim ini dan harap-harap kami dapat memenangi liga.

"Saya tidak sabar untuk menyarung kembali jersi dan membuktikan mengapa kami berada di sini dan berjuang untuk mencapai sasaran bergelar juara.

"Kami perlu menjadi profesional, makan, menjaga diri dan berlatih bersama.

"Ia adalah sesuatu yang kami boleh lakukan bersama-sama, bukan hanya pasukan ini tetapi seluruh negara, menyokong kami dan mara ke depan dengan kekuatan yang lebih besar.

"Kami perlu terus gigih berlatih untuk menyokong sesama sendiri supaya kami bersedia apabila liga kembali," katanya.