COVID-19: Valencia tempelak Gasperini 'bawa' virus ke Sepanyol 

Oleh Shaiful Shamsudin 1 Jun 2020 118
COVID-19: Valencia tempelak Gasperini 'bawa' virus ke Sepanyol 
Valencia menyatakan "terkejut" apabila mengetahui pendedahan Gian Piero Gasperini yang mengakui mengalami gejala COVID-19 dalam perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) sambil menegaskan pengurus Atalanta itu meletakkan ramai orang dalam risiko.

Gasperini mendedahkan pada hujung minggu lalu bahawa dia berasa khuatir telah dijangkiti COVID-19 ketika Atalanta menundukkan Valencia 4-3 di gelanggang tertutup, 10 Mac lalu. 

Atalanta mara ke suku akhir UCL menerusi agregat 8-4 di Mestalla sebelum saingan 2019-20 ditangguhkan berikutan ancaman pandemik itu. 


 

Mengulas mengenai pengakuan Gasperini itu, wakil LaLiga berkenaan mengeluarkan satu kenyataan yang berbunyi: "Valencia CF secara terbuka melahirkan rasa terkejut terhadap pendedahan pengurus Atalanta, Gian Piero Gasperini, di akhbar Itali semalam apabila menyatakan sehari sebelum dan hari perlawanan di Mestalla pada 10 Mac lalu, telah menyedari gejala koronavirus tanpa mengambil langkah pencegahan.

"Tindakan seperti itu jika ini memang benar pasti akan membahayakan ramai orang yang dalam perjalanan ke tempat tinggal di Valencia.

"Harus diingatkan bahawa perlawanan ini diadakan di stadium tertutup sebagai langkah keselamatan yang ketat atas perintah pihak berkuasa kesihatan Sepanyol bagi mencegah risiko penularan COVID-19, lebih-lebih individu yang datang daripada kawasan yang sudah diklasifikasikan secara terbuka sebagai 'berisiko' pada ketika itu."


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen