Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) telah menjelaskan bahawa mereka tiada perancangan untuk melakukan perubahan dalam senarai akses pertandingan peringkat kelabnya bagi musim depan.

Awal minggu ini, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, berkata kepada beIN SPORT bahawa keputusan membatalkan saingan Ligue 1 dan Ligue 2 musim ini adalah satu tindakan "pramatang".

Dikhabarkan bahawa kelab daripada liga yang telah mengambil keputusan untuk mengakhiri baki kempen 2019-20 kerana wabak koronavirus, dengan Eredivisie dan Pro League Belgium juga telah mengambil langkah sama, perlu mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan awal bagi kejohanan UEFA musim depan.

Tetapi badan induk itu telah mengambil langkah untuk menjelaskan mengenai kekeliruan itu sambil menegaskan hanya pasukan yang menamatkan musim di kedudukan di mana mereka perlu melalui peringkat itu perlu melaluinya.

Satu kenyataan dalam Twitter UEFA berkata: "Mengenai beberapa petikan kata yang dipetik daripada satu temu bual yang dilaporkan beIN, UEFA ingin menjelaskan bahawa Presiden Ceferin ada menyatakan bahawa kelab daripada liga yang yang membatalkan musim ini masih perlu bersedia untuk beraksi dalam pusingan kelayakan musim depan berdasarkan senarai akses semasa.

"Dia tidak menyebut atau mengisytiharkan perubahan kepada senarai akses pertandingan kelab UEFA."

Penularan Covid-19 telah menjejaskan keseluruhan kalendar bola sepak di Eropah.

Minggu ini, Bundesliga menjadi liga pertama meneruskan baki saingan musim 2019-20.