COVID-19: Tiga lagi pemain diuji positif 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 September 2020 137
COVID-19: Tiga lagi pemain diuji positif 
Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan tiga lagi pemain didapati positif COVID-19 sekali gus dalam keraguan untuk diturunkan bagi perlawanan pembukaan Ligue 1, minggu depan.

Ini bermakna enam pemain sah positif dalam dua pusingan saringan terakhir dengan kumpulan tiga pemain pertama dilaporkan kelmarin. 

Perkembangan semasa menyaksikan perlawanan PSG di Lens yang dijadualkan pada 11 September ini perlu disusun semula selepas ia sudah pun dirombak susulan komitmen mereka dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL). 

Kelab itu dalam satu kenyataan ringkas berkata: "Ujian terbaru untuk PCR SarsCoV2 yang dijalankan ke atas skuad utama PSG mengesahkan tiga kes positif baru.

"Pemain-pemain telah mengikuti langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian."

Anak buah Thomas Tuchel itu dinobatkan sebagai juara Ligue 1 berdasarkan kutipan mata selepas kempen musim lalu terpaksa ditamatkan seawal April berikutan ancaman COVID-19. 

Mereka kemudian mendominasi kedua-dua piala domestik seterusnya dalam tempoh seminggu tetapi tumpas 0-1 kepada Bayern Munich dalam aksi final UCL, dua minggu lalu. 


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen