Tiga individu di Cologne positif wabak novel koronavirus (Covid-19), menurut kelab Bundesliga itu dalam satu kenyataan semalam.

Kelmarin, Cologne mengadakan ujian saringan ke atas semua pemain dan kakitangan mereka sebelum mengesan tiga individu yang tidak didedahkan telah dijangkiti pandemik itu.

Ketiga-tiganya -- dilaporkan terdiri daripada dua pemain dan seorang pakar fisioterapi -- telah diarahkan supaya menjalani prosedur kuarantin selama 14 hari.


Cologne akan meneruskan program latihan mereka dengan kempen persiapan Bundesliga berpotensi disambung Rabu ini.

Pengarah Urusan Cologne, Horst Heldt, berkata: "Kesihatan privasi pemain dan kakitangan diberi keutamaan.

"Langkah-langkah serta strategi ujian saringan yang diamalkan telah terbukti dapat mengesan keadaan mereka untuk kami menanganinya secara individu.

Pengerusi pasukan petugas perubatan sukan yang ditubuhkan oleh Liga Bola Sepak Jerman (DFL), Dr. Tim Meyer, menambah: "Setiap hari kami mengamalkan konsep untuk mengenal pasti dan mengurangkan risiko jangkitan itu di tahap awal.

"Kami akan saling bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dan pakar perubatan yang bertanggungjawab. Kami yakin bahawa dengan konsep ini, kami dapat membantu pemain meneruskan kerjaya menerusi perlindungan terbaik daripada jangkitan."

Ketua Eksekutif DFL, Christian Seifert, minggu lalu mengatakan Bundesliga sudah bersedia untuk meneruskan saingan musim di gelanggang tertutup dengan Sabtu depan disebut-sebut sebagai tarikh sesuai untuk menyambung baki perlawanan.

Namun, dengan canselor Jerman, Angela Merkel, dan pemimpin negara itu belum lagi mengadakan pertemuan, justeru 16 Mei depan tampak merupakan tarikh paling awal untuk meneruskan saingan musim ini.

Cologne menduduki tempat ke-10 Bundesliga, lima mata di belakang Schalke bagi perebutan kelayakan tiket Eropah terakhir.