Javier Tebas berharap saingan LaLiga musim ini dapat diteruskan pada pertengahan Jun depan selepas ditangguhkan gara-gara pandemik Covid-19.

LaLiga digantung sejak bulan lalu disebabkan wabak Covid-19, yang telah mengorbankan lebih daripada 218,000 mangsa di seluruh dunia.

Saingan Ligue 1 dan Eredivisie musim ini sudah dibatalkan tetapi terdapat ketidakpastian mengenai liga-liga lain dengan terdapat negara yang masih mahu meneruskannya.

Tetapi Tebas, yang merupakan presiden LaLiga, masih berharap liga divisyen utama Sepanyol itu dapat diteruskan Jun depan.

"Saya berharap liga ini dapat bersambung pada pertengahan Jun depan," katanya kepada Movistar.

"Itu adalah waktunya, tidak perlu terburu-buru.

"Kami boleh memulakannya semula pada Jun depan dan akan melangsungkannya sehingga 28 Jun.

"Kita akan kembali berlatih, kita akan lihat tarikhnya tetapi saya dapat lihat kita boleh menamatkan kejohanan ini, di mana ia amat penting," katanya.

Barcelona mengemudi carta liga dengan kelebihan dua mata di atas Real Madrid sebelum LaLiga dihentikan walaupun masih berbaki 11 perlawanan.

Sepanyol antara negara yang terjejas teruk disebabkan wabak Covid-19 dengan lebih daripada 232,100 orang dijangkiti, termasuk kes kematian yang mencecah 23,800 mangsa.