Presiden Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales, berkata pihaknya mahu menyelamatkan musim ini walaupun tampak sukar untuk kembali meneruskan aksi liga Mei depan.

LaLiga, seperti liga-liga utama di Eropah yang lain, kini ditangguhkan susulan wabak coronavirus, di mana tiada perlawanan dijalankan di pentas tertinggi Sepanyol itu sejak Real Sociedad menewaskan Eibar 2-1, 10 Mac lalu.

Negara itu kini dilanda wabak COVID-19 yang serius, menyaksikan lebih 3,000 kematian dan lebih 47,000 kes disahkan.

Penangguhan sementara kempen 2019-20 diumumkan Isnin lalu akibat daripada krisis itu sambil aksi final Liga Europa dan Liga Juara-Juara Eropah tidak akan dijalankan mengikut jadual asal.

Semalam, Rubiales mendedahkan terdapat kemungkinan musim ini dilanjutkan melangkaui jadual asal dalam usaha memastikan ia dapat ditamatkan berbanding menghentikan saingan lebih awal.

"Keutamaannya adalah menamatkan musim," katanya.

"Kami tidak boleh sewenang-wenangnya menyingkirkan pasukan. Pasukan harus dinaikkan.

"Terdapat ratusan pasukan yang menunggu untuk menamatkan musim ini. Apabila negara pulih, ia akan menjadi detik untuk melengkapkan musim ini.

"Diharapkan saya tidak silap dan kami dapat menyambung aksi Mei nanti. Saya tidak fikir ia dapat dijalankan tetapi gembira untuk membuktikan pendapat itu didapati salah dan kami harus melanjutkan kalendar.

"Objektif utama adalah menyelamatkan musim ini. Itu perancangannya."

Bagaimanapun, Rubiales juga mengesahkan pihak RFEF kekal berjaga-jaga dalam membincangkan tarikh aksi kembali disambung.

"Kami bekerja dalam setiap situasi tetapi tidak mahu menjadi peramal. Kami perlu berjaga-jaga," tambahnya.

"Kami hidup dalam detik sukar, banyak kematian. Kami tidak pernah menghentikan saingan lebih awal dan tidak akan lakukannya.

"Kami percaya penamat perlu lebih telus dan selamat. Ia boleh dilakukan apabila negara kembali ke situasi normal."