Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora, percaya 3 Mei depan adalah tarikh yang terlalu optimis untuk menyambung Serie A susulan wabak coronavirus.

Serie A -- sama seperti liga lain di seluruh dunia -- ditunda akibat krisis COVID-19, di mana ia telah meragut lebih 24,000 nyawa secara global.

Itali -- yang kini darurat -- menjadi negara paling teruk terkesan dengan kematian mencecah 8,200 dan 80,500 kes disahkan.

Beberapa pemilik Serie A berdebat sama ada kempen 2019-20 patut disambung atau dibatalkan dan Spadafora memberikan makluman semalam, mendedahkan kata putus akan dibuat Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC).

"Ramalan menyaksikan kami mungkin akan menyambung acara sukan di penghujung April atau Mei tetapi ia terlalu optimistik berdasarkan pemerhatian pihak kesihatan," katanya.

"Saya boleh katakan, jika ia diteruskan, mungkin akan dijalankan secara tertutup.

"Kami tidak mampu fikirkan lebih daripada itu tetapi saya meragui dengan tarikh 3 Mei. Malangnya, situasi kesihatan ini membuatkan ia tampak samar. Kami perlu sesuaikan keputusan dengan perkembangan wabak ini."

Spadafora menambah: "Keputusan akhir akan dibuat FIGC tetapi memang sukar untuk menyambung saingan pada awal Mei.

"Pihak persekutuan mungkin menangguhkan saingan sehingga lewat musim panas, mungkin Julai atau Ogos tetapi ia sangat rumit.

"Situasi ini memberikan kami lebih banyak masa untuk memahami tempoh kecemasan dan kini saya membayangkannya dengan langkah berjaga-jaga."