Situasi Covid-19 yang membimbangkan di Amerika Syarikat tidak menghalang pemain tengah kelahiran Amerika Syarikat Wan Kuzain Wan Kamal untuk melakukan latihan sendirian.

AS mencatat kes jangkitan tertinggi, melebihi 1 juta kes covid-19 dengan jumlah kematian lebih daripada 55,000 nyawa ketika ini.

Bagaimanapun, pemain kelab Sporting Kansas City itu lega apabila masih mampu meneruskan latihan sendirian walaupun keadaan semasa di sana lebih merisaukan.

"Bandar atau kawasan dimana saya tinggal di AS masih membenarkan kami keluar dan berlari. Daripada situ saya menggunakan kesempatan ke padang yang tidak terdapat ramai orang bagi menjalani sedikit latihan kecergasan," kata Wan Kuzain.

Sementara itu, Kuzain yang pernah hampir menyertai skuad B-22 negara untuk Sukan SEA Filipina 2019 itu pasti menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila beraksi dalam Liga Bolasepak Utama (MLS) yang pernah menampilkan pemain hebat antarabangsa.

Namun, bagi pemain berdarah Malaysia kelahiran AS tersebut menganggap ujian berbeza yang ditawar setiap hari buatnya dalam merebut slot utama pasukannya.

"MLS adalah salah sebuah liga terbaik di dunia. Setiap orang mahu beraksi dalam liga itu ketika ini, bukan sahaja pemain dari Eropah dan Amerika Selatan yang selama ini menjadikan liga ini antara yang terbaik di dunia. Setiap hari adalah seperti permulaan baru, lasak dan kompetetif seperti yang sepatutnya."

"Safawi Rasid seorang pemain yang bagus. Kami tidak pernah bersemuka tetapi sering berhubung di Instagram dan media sosial. Sudah pasti dia pemain yang hebat dan saya berharap untuk bertemunya secara peribadi tetapi ketika ini kami akan terus berhubung dalam talian."