Bekas penyerang AC Milan dan Chelsea, Andriy Shevchenko, percaya pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini sama seperti bencana Chernobyl.

Lebih 30,800 mangsa terbunuh disebabkan wabak itu dengan kes jangkitan telah mencapai angka 660,000.

Shevchenko, yang menyaksikan bencana Chernobyl ketika zaman kanak-kanaknya pada 1986 -- yang mengorbankan 54 mangsa dan dikatakan menjadi punca kepada ribuan kematian lain -- berkata terdapat persamaan di antara kedua-dua krisis berkenaan.

"Saya pernah hidup pada waktu yang hampir sama seperti ini. Ketika itu saya baru berusia sembilan tahun," kata ketua jurulatih Ukraine itu kepada Sky Sport.

"Satu-satunya perkara yang perlu kita lakukan ialah mengelak daripada melakukan perkara bodoh.

"Tiada siapa dalam kalangan kita yang pasti bahawa kita tidak terhubung dengan virus itu.

"Kita tidak boleh keluar rumah, kita tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri tetapi di atas semua itu adalah kepada siapa yang akan lebih terkesan dengan jangkitan itu," katanya.

+-+-+-+-+

Shevchenko berterima kasih kepada doktor dan jururawat dan menggesa agar masyarakat menghormati arahan yang dikeluarkan kerajaan masing-masing.

Itali, negara di mana Shevchenko mewakili Milan dari 1992 hingga 2006, telah merekodkan lebih daripada 10,000 kematian disebabkan Covid-19.

"Satu-satunya jalan penyelesaiannya adalah dengan menghormati ketetapan kerajaan iaitu untuk kekal berada di rumah dan memberikan doktor peluang melakukan tugas mereka, di mana ia tugas yang amat berat.

"Berikan mereka jururawat sukarela, mereka adalah wira pada ketika ini.

"Mereka perlu diberikan ucapan terima kasih di atas apa yang mereka lakukan," tambahnya.